Jumaat, 12 Februari 2016

Pantun Nak Lagi

eBuku MyPantun hanya RM 9.90 SAHAJA!

Pantun Nak Lagi

Apa yang yang nak lagi ni? Ah, macam-macam keinginan dan macam-
macam kemahuan yang adakalanya munasabah dengan kemampuan
yang ada pada diri yang nak lagi tu dalam segala segi, dan tak kurang
juga yang tidak ada kemampuan pada sesaorang tapi masih nak lagi!

Kalau ada kemampuan untuk dapatkan benda atau perkara tersebut tak
apalah juga tapi yang tak ada kemampuan ni macam mana agaknya ya?
Nasihat saya pada mereka yang mampu samaada berkahwin lagi atau
memadukan isteri, anda wajib ada kemampuan juga untuk berlaku adil
antara isteri anda atau jika anda mewah dengan kewangan dan
berkemampuan membeli jangan sampai berlaku pembaziran
ingat-ingatlah kepada mereka yang daif ringan-ringankanlah tangan
menghulurkan bantuan dan mengeluarkan zakat harta!

Kepada yang tidak ada kemampuan atau ada kemampuan tapi terbatas
cuba-cubalah ikut kata pepatah orang tua-tua dahulu "Ukur baju di
badan sendiri, jangan ukur di badan orang!" dan pepatah ini “jangan ikut
rasa nanti binasa dan jangan ikut hati nanti mati!”
Berjimatlah dalam perbelanjaan jangan dilakukan perkara yang
membazir kerana amalan membazir adalah amalan syaitan laknatullah!

Lantun melantun kian kemari
Lantun asak ke tepi itu terjadi
Pantun memantun kita di sini
Pantun nak lagi nama diberi

Lantun melantun kian kemari
Luka sakit diberi ubat
Pantun memantun kita di sini
Muga sedikit memberi manfaat

Dari kota menyemak meneliti
Siri cerita hendak dibeli
Suami minta anak lagi
Isteri pula tak hendak bagi

Tali kebel tali kekisi
Hendak mengikat di sebelah sini
Isteri membebel dah lama tak berisi
Anak kecil dikehendaki lagi

Susah ditemui walau dicari
Semuanya selalu dikuatiri
Salah suami atau isteri
Keduanya tak mampu memberi?

Ramai budak ke sana ke mari
Melamun sedih menyelam di hati
Ramai anak itu dihajati
Namun maseh belum menjadi

Susu kuda petua diberi
Dapat anak mungkin terjadi
Lesu bonda tua menanti
Menimang cucu itu dihajati

Lampinkan budak perlu bertali
Ikat sekali usah dua kali
Inginkan anak satu lagi
Hajat di hati entah bila terjadi

Berlainan cara dakwah mesti dikaji
Menguji menyalin diperbarui
Beriman dan bertakwa isteri sejati
Suami kahwin lagi dia restui

Budi Zaleha banyak sekali
Memberi kain berkodi-kodi
Isteri solehah isteri sejati
Suami kahwin lagi tak sakit hati

Merata diredah pusat beli belah
Cuci mata tidak terhingga
Kereta dah ada dua tiga buah
Isteri minta nak tambah juga

Angan berselirat bukan menghalang
Kaseh menguntum seikhlas budi
Lengan bersirat dengan gelang
Maseh belum puas hati lagi

Isteri sibuk dengan melaram
Bedak disapu penuh minat
Sudah lama suami mengidam
Tambah anak itu diperingat

Kelibat anak selain di sini
Bersemadi indah di dalam diri
Melihat budak bermain di sisi
Suami isteri nak tambah lagi

Kaseh bersemi anak sendiri
Mengikat kaseh sesama sendiri
Suami isteri nak anak lagi
Ambil anak angkat tak jumpa lagi

Beri bedak tidak sekali
Beri juga tak sampai hati
Isteri hendak anak lagi
Suami pula sama sekodi

Susu kuda cuba diamali
Memang lama baru menjadi
Lesu ayah tua lama menanti
Menimang cucu itu dihajati

Hairan suami isteri tak sabar
Tadi meluru mengasak sendiri
Jiran beli peti sejuk besar
Isteri cemburu desak suami

Wah wah wah wahh..
Bila mama pakai celana
Pandai sorok membuat helah
Jika Papa pandai nak pasang tiga

Bagi cinta bukan nak puji
Loghat dan loyar buruk dibagi
Suami minta nak tambah lagi
Empat tayar tak cukup lagi

Menggerutu punya si bini
Tak kurang makin menjadi
Aku tanya sama bini
Boleh abang tambah lagi?

Periuk belanga terbang melayang
Suami menepis terhuyung hayang
Syok sehingga terbayang-bayang
Dah ada empat suami maseh gila bayang

Rajuk merajuk sudah bersemi
Cinta bercambah satu hati
Pujuk memujuk oleh suami
Minta tambah satu lagi

Banyak bidadari bukan di sini
Boleh dimiliki selepas mati
Nyenyak si isteri tidur sendiri
Curi cap jari nak tambah lagi

Rasmi budak mesti dibantu
Merajuk nanti tak mahu menyusu
Suami nak lagi kerana mampu
Memujuk bini tak jemu-jemu

Beri bedak sudahlah tadi
Kerana melekit pipi si Tanjung
Suami hendak tambah lagi
Kerana sakit isteri tak berpenghujung

Ish ish ish ishh..
Tadah muka hendak berlaga
Ish ish ish ishh..
Dah ada dua nak pasang tiga

Tua-tua main goli
Nampak tak berubah yang satu ini
Dah dua minta sain lagi
Nak tambah satu lagi bini

Mencemik pula seorang ni
Tak kena, isteri bagi tinju
Merengek suami pada isteri
Nak juga, nak lagi satu

Gula melaka nira kelapa
Selain dimakan enak dibuat inti
Ala mama tolonglah papa
Tolonglah sain surat izin ini

Bukan lupa membeli bendera
Anak resah isteri nak pulang
Sakan bercinta suami dan dara
Hendak nikah isteri halang

Bata terbiar berkulat di para
Bantal disedia anak bini
Mata meliar melihat dara
Gatalnya dia nak isteri lagi

Pulasan berisi tidak disokong
Nanti tersembam di atas bumi
Alasan isteri tak mengandung
Suami ingin tambah satu lagi

Seni anyaman tak usah diakhiri
Peranan dan tumpuan silih berganti
Suami berangan nak kahwin lagi
Kerana perempuan lebih dari lelaki

Tiada ulasan:

Catat Ulasan